Stacy Akui Terkejut Mewangi Gagal Ke AJL29


Penyanyi Stacy mengakui yang ia benar-benar terkejut apabila lagu 'Mewangi' dendangan Akim & The Magistrate tidak layak mara ke pentas Anugerah Juara Lagu ke 29 (AJL 29). Bagi teman wanita kepada Akim Ahmad ini, lagu 'Mewangi' mempunyai kekuatan pada lirik serta melodinya.
 “Jika diikutkan pendapat peribadi saya, memang saya terkejut kerana lagu 'Mewangi' tidak terpilih untuk ke AJL 29. Namun bagi saya itu semua rezeki masing-masing dan pihak juri lebih arif mengenai keputusan yang dibuat.
Saya turut memberikan kata-kata semangat kepada Akim berhubung hal tersebut. Namun saya merasakan yang komposer lagu 'Mewangi' pasti berasa lebih kecewa kerana dia yang mencipta karya tersebut,” ujar Stacy ketika ditemui di rakaman program Pop Krew di Glenmarie Shah Alam pada Sabtu.

Gadis kelahiran Sabah ini turut melahirkan perasaan syukur kerana lagu yang dipopularkan olehnya, 'Gilalah' layak ke AJL 29. Walaupun mempunyai jadual kerja yang padat, namun Stacy merancang untuk membuat persiapan untuk anugerah tersebut dalam masa yang terdekat.

“Setiap tahun saya tidak meletakkan harapan yang tinggi serta merasakan setiap yang terpilih memberikan saingan yang hebat kepada saya. Namun saya sendiri ingin memberikan yang terbaik serta memastikan saya mempunyai stamina yang cukup ketika AJL 29 itu nanti,” ujarnya.

Dalam perkembangan terkini, Stacy sedang sibuk melatih anak didiknya iaitu Algebra dan 5beats bagi program Pop Krew. Tambah Stacy, walaupun dia terpaksa menolak banyak tawaran namun kerana minat dia sanggup memberikan komitmen sepenuhnya untuk program tersebut.

Stacy juga sedang dalam rangka perancangan untuk menghasilkan sebuah lagu duet bersama penyanyi kelahiran Indonesia. Namun dia tidak boleh berkongsi maklumat lanjut kerana projek itu masih dalam peringkat perbincangan