Akim Anggap Foto Biasa

Foto bersama Stacy ketika merayakan Aidilfitri yang dimuat naik Akim Ahmad pada laman sosial Instagram, mendapat pelbagai reaksi pengikut penyanyi dan pelakon yang dilahirkan menerusi pentas Akademi Fantasia itu. Ada yang suka dan tidak kurang juga ‘menegur’ pasangan itu.

Ramai sedia maklum hubu­ngan rapat Akim dan Stacy tetapi pasangan itu tidak pernah me­ngeluarkan apa-apa kenyataan mengesahkan mereka sedang bercinta. Sepanjang lima tahun, mereka hanya mengaku berkawan rapat, tidak lebih daripada itu.


Ia secara tidak langsung mencetus rasa kurang senang segelintir pengikut Akim dan Stacy. Malah, ramai menegur dan memberi komen ‘berbisa’ terhadap gambar dimuat naik Akim seminggu lalu.

Ketika dihubungi, Akim meminta jangan terlalu cepat menjatuhkan hukum terhadapnya dan Stacy. Pun begitu, dia menerima segala kritikan dan teguran itu dengan lapang dada.

 “Kalau lihat Instagram saya, tidak ada pun gambar kami bersentuhan walaupun beralas. Kalau orang masih nak bercakap, terpulang.

“Saya tahu apa yang saya buat dan tahu batas. Stacy datang beraya ke rumah saya di Johor. Mak, ayah dan adik-beradik saya ada, jadi tak timbul isu.

“Apapun, terima kasih atas segala teguran. Saya lihat pada sudut positif dan akan lebih berhati-hati selepas ini. Mohon saya kepada mereka yang gemar menilai kehidupan saya dan Stacy, doakan kami.

“Jangan hanya tahu menyelar, lebih-lebih lagi perkara sensitif seperti agama. Sama-samalah kita doa supaya pintu hatinya terbuka untuk mendekati Islam. Itu lebih baik daripada mengkritik dan mengeji,” katanya.

Mengapa berahsia andai benar bercinta? Saat perkara itu dibang­kitkan, Akim menjelaskan, dia tidak gemar berkongsi perihal peribadi. Cukuplah sekadar tahu dia dan Stacy berkawan.

“Saya belum bersedia bercakap soal hati dan perasaan. Perkara itu membuka peluang orang buat spekulasi dan cerita bukan-bukan.

“Saya tidak mahu timbulkan masalah antara keluarga. ­Banyak hati yang perlu saya jaga dan kena ambil langkah berjaga-jaga. Orang mungkin terlepas pandang hal ini.

“Saya akui tak manis kalau kami sering dilihat bersama. Ada yang suruh kahwin cepat untuk elak fitnah. Saya tak berani cakap soal jodoh.

“Yang boleh saya katakan, kami berkawan, kenal hati budi dan mendekati keluarga masing-masing. Kalau ada jodoh, mungkin dua atau tiga tahun lagi. Jika tiada jodoh, mungkin saya dengan orang lain,” katanya.

Akim bagaimanapun mengakui ada keinginan untuk berkahwin dan dia perlu kukuhkan ekonomi terlebih dulu selain benar-benar bersedia mental dan fizikal memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Setidak-tidaknya perlu ada rumah untuk jadi tempat anak isteri berteduh nanti.

“Saya dalam proses mengukuhkan kewangan. Saya mahu pasangan saya hidup selesa. Alhamdulillah, saya beli tanah berdekatan Ampang dan kini mengumpul modal untuk mendirikan rumah. Aset ini untuk masa depan keluarga yang bakal saya bina nanti.

“Insya-Allah, apabila ada perkembangan terbaru dengan Stacy dan bersedia bergelar suami, saya akan maklumkan kepada semua,” katanya yang membahasakan dirinya daddy dengan anak Stacy, Bella Valentina.

Mengenai rahsia berjaya mengekalkan hubungan baik ­dengan Stacy, Akim berkata, mereka menghormati pendirian dan menjaga sensitiviti masing-masing. Dalam apa juga perkara, jangan berlebih-lebih dan sentiasa bersikap jujur.