Stacy Tak Sangka

Suaranya kedengaran cukup teruja di hujung talian. Apa tidaknya, sekian lama menantikan peluang ini, akhirnya impian Stacy Angie Anam untuk menggenggam trofi Penyanyi Wanita Popular dan Artis Duo Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) akhirnya termakbul.

Bagaimanapun, dalam kegirangan itu, Stacy meluahkan rasa kecewa apabila tidak dapat bersama memeriahkan majlis pada malam itu. Beliau terikat dengan undangan persembahan sempena Pesta Keamatan di Kota Kinabalu, Sabah.

"Saya memang merancang untuk hadir, tetapi apabila tarikh ABPBH ditunda, saya tidak dapat berbuat apa-apa berikutan ada undangan yang sudah dipersetujui lebih awal.

"Sebenarnya, saya merancang jika tiba awal, saya ingin singgah ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Tetapi jadual penerbangan saya pula ditunda dan akibatnya saya tiba lewat.

"Mungkin semua ini sudah tertulis. Walaupun agak terkilan, saya tetap bersyukur kerana selepas sekian lama, akhirnya saya dapat menggenggam trofi ABPBH," kata Stacy ketika dihubungi HIP.

Gurauan jadi nyata
Akui Stacy, beliau berseloroh dengan Akim sekiranya namanya diumumkan sebagai pemenang, teman karibnya itu diminta naik ke pentas mewakili dirinya.

Tanpa disangka gurauannya menjadi kenyataan. Siapa sangka, malam kemuncak ABPBH menjadi malam cukup bermakna buat dirinya apabila menggondol dua trofi.

"Memang saya tidak jangka dan sangat terkejut dengan keputusan pada malam itu. Sewaktu keputusan diumumkan, saya masih berada dalam pesawat, saya hanya mengetahui berita kemenangan daripada keluarga yang menghubungi.

"Tidak tahu bagaimana saya hendak menggambarkan perasaan ketika itu, hendak menangis, ketawa semuanya ada. Saya amat berterima kasih kepada peminat yang bersusah payah mengundi saya dan Akim," katanya.

Stacy berkata, peminat pernah berjanji mahu `bekerja keras' untuk memastikan kemenangannya kali ini.

"Selepas menang kategori Artis Baharu Wanita Popular pada 2008, setiap tahun saya dicalonkan, tetapi tidak pernah menang sehingga saya enggan menaruh sebarang harapan lagi.

"Saya memang terkejut dengan kemenangan ini. Apatah lagi anugerah ini pernah dimenangi oleh beberapa nama besar, kata Stacy yang berharap kerjayanya kekal seperti sekarang.

Ujar Stacy, beliau selesa dengan apa yang dikecapi sekarang. Apa yang penting, peminat masih menyokong kerjaya seninya.

Justeru, sebagai tanda penghargaannya kepada peminat yang tidak jemu menunjukkan tanda sokongan, Stacy berhasrat menganjurkan majlis menghargai peminat.