Cabaran Cinta Kimcy

Akim dan Stacy menanti restu

Seakan-akan tak sempurna pada malam 24 Mei lalu, ketika berlangsungnya malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013, apabila seorang pemenang tidak hadir. Penyanyi, Stacy sepatutnya berada di sisi Akim Ahmad, 23, untuk menerima trofi kategori Artis Duo Berkumpulan Popular yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

 Bahkan pada malam bersejarah itu juga Stacy dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Popular menewaskan pemenang tahun lalu, Shila Amzah selain Alyah, Najwa Latif dan Yuna. Trofi berkenaan diserahkan kepada Akim sebagai wakil penerima.

Ironinya, kejayaan kategori Penyanyi Wanita Popular itu diterima Stacy buat julung kali selepas empat kali dicalonkan berturut-turut menerusi ABPBH 2009 hingga 2012. Cuma sayang pada saat kejayaan bermakna itu menyebelahinya, Stacy terikat dengan persembahan di Sabah yang dipersetujui sebelum tarikh ABPBH 2013 ditunda.

Cukup Serasi
Mengembalikan saat berkenaan, Artis Baru Wanita Popular 2008 itu disatukan kembali dengan teman istimewanya, Akim untuk gambar muka depan B*POP minggu ini. Mendapat tarikh dan persetujuan pada saat akhir, kedua-duanya sudi meluangkan masa untuk sesi fotografi ini biarpun perlu segera ke lokasi berbeza untuk urusan kerja lain.

Beberapa jam di studio Balai Berita dengan tatarias Nuex Rosli, Pasangan yang cukup serasi dan akrab sejak lima tahun itu menterjemahkan emosi dan mood yang diingini. Tanpa perlu mengambil masa lama, Akim dan stacy pantas mencipta serasi di depan lensa kamera.

Apa yang disaksikan di depan kamera jelas membuktikan memang ada "sesuatu" antara mereka. Di sebalik hubungan istimewa yang sudah dihidu ramai itu, Stacy memilih utnuk tidak terlalu terbuka membicarakan sisi peribadi itu, berbanding Akim yang kebelakangan ini mula berani memberi komen mengenai hubungan cinta mereka.

Akim kala ditemui memberitahu mengakui cukup sayangkan Stacy dan untuk merancang lebih jauh mengenai hubungan mereka ia memerlukan masa dan kesabaran. Menyedari cinta berlainan agama dan budaya yang terjalin antara mereka, Akim akur dengan hal berkenaan dan sedar ia cukup sensetif serta banyak hati yang perlu dijaga.

Stacy Penyayang
"Cinta itu tak pernah memandang agama. Bagi saya, Stacy sangat penyayang dan sepanjang mengenalinya saya tahu beliau seorang wanita yang mementingkan keluarga, lalu andai benar kuat jodoh antara kami kelak, itu satu penguat kepada hubungan kami yang beliau memang jenis sayangkan keluarga.

"Tengok saja beliau mengambil anak angkat bersama Bella. Sudah menjadi bukti kepada apa yang saya maksudkan. Sebelum beliau pun saya kenal dengan gaids lain, tetapi di mata saya, beliau tetap unik. Selalunya gadis yang saya kenali lebih kepada girlfriend material bukan jenis pentingkan keluarga seperti Stacy.

"Benar....saya tak nafikan dalam kalangan peminat yang sukakan kami tak kira dalam soal profesional atau peribadi. Kejayaan di ABPBH bukti peminat mahu terus melihat kerjasama kami lagi dalam nyanyian. Sebagai komposer, insyaAllah saya mahu cipta lagu lagi untuk kami terus berduet," kata Akim mengakui selain disokong peminat masing-masing turut wujud gabungan peminat mereka di bawah nama Kimcy Lovers yang bukan bermaksud makanan tradisional dari Korea dieja Kimchi sebaliknya Kimcy ialah akronim nama Akim dan Stacy.

Peminat pembakar semangat
Stacy turut bersetuju dengan pandangan Akim bahawa peminat menyokong mereka bukan semata-mata kerana mahu melihat mereka hidup bersama, tetapi yang lebih utama memastikan kerjaya seni mereka bertahan. Melihat komen positif peminat di laman sosial yang tak berhenti menyokong, ia terus menjadi pembakar semangat buat Stacy dan Akim.

"Dalam soal membabitkan hati, saya ada keluarga yang perlu dijaga hati mereka. Lumrah dalam mana-mana hubungan pun, dugaan itu pasti ada. Seperti saya katakan sebelum ini, Akim antara lelaki yang saya selesa dampingi. Jodoh itu rahsia Tuhan. Saya mengharapkan yang terbaik. Saya mahu setiap yang dilakukan mendapat restu keluarga termasuklah soal hati," katanya yang cuba mengalih topik

Terharu Kali Pertama Menang Kategori Nyanyian
Mengenai kejayaan berganda Stacy di pentas ABPBH 2013, penyanyi yang baharu muncul dengan album ketiga berjudul #1 itu masih tidak menyangka mengenai  keputusan diumumkan. Akuinya, perasaannya masih bercampur aduk antara terkejut dan terharu dengan usaha peminatnya.

"Tertanya juga saya, apalah usaha dan strategi kelab peminat saya lakukan pada tahun ini hingga saya boleh menang. Saya amat hargai sokongan dan kerja keras mereka hingga undian itu kuat, sekali gus melayakkan dua kategori menjadi saya, selain bersama Akim.

"Selama ini pun saya tak pernah mencampuri urusan mereka dalam mengundi. Cuma apa yang saya nampak semangat peminat tahun ini lain macam. Bayangkan masa sambutan hari lahir dan majlis berkumpul bersama peminat pun antara mereka rancak menanda nama saya di surat khabar.

"Saya amat hargai mereka dan hanya mampu memberi semangat atas usaha dilakukan. Di sabah pun, ada peminat saya sanggup mengeluarkan wang untuk dibeli surat khabar BH kerana ada kawasan pedalaman di sana tak dapat membelinya. Jadi, wang itu disalurkan ke ibu kota untuk dibelikan akhbar BH dan mengundi saya," katanya

Tiada Istilah Putus Asa
 Mengambil masa lama untuk mencapai kejayaan dalam anugerah disertai, Stacy mengakui tiada istilah putus asa. Namanya memang cukup sinonim bukan saja di ABPBH tetapi juga pada Anugerah Juara Lagu TV3, namun belum pernah ada rezeki untuk menang.

"Apa yang saya lakukan semua ini atas paksi minat, Sekalipun mengambil masa lama untuk dihargai saya akan terus berjuang. Kemenangan di ABPBH 2013 cukup bermakna buat saya dan juga Akim. Saya juga bersyukur kerana dianggap antara Juara Akademi Fantasia (AF) termasuk Hafiz yang terus bertahan hingga saat ini.

"Pernah ada yang tanya bagaimana saya terus bertahan? Saya percaya semua berbalik kepada soal tuah dan rezeki. Pemilihan genre saya yang dikenali sebagai penyanyi dan penari juga mungkin antara alasan kenapa saya masih dingati. Sejujurnya, ada juga yang sudah lupa saya sebenarnya dari program AF", selorohnya. Mengenai album ketiganya yang disokong Astro, Stacy kini mempertaruhkan single kedua berjudul Gilalah selepas lagu Hello menampilkan kumpulan Smash dari Indonesia. Untuk album ini juga Stacy menggunakan khidmat penata gaya, Yana Husin yang pernah berkhidmat untuk Datuk Siti Nurhaliza

"Selepas Aidilfitri nanti, berkemungkinan besar saya akan melakukan siri jelajah di sabah kerana saya tahu ada peminat di kawasan pedalama, tak berpeluang bertemu saya, selain memiliki album. Selain itu, Album ini juga dijadualkan dipromosikan ke indonesia pada tahun ini, Bagi saya cukup bermakna lagu dalam album atau single sering mendapat perhatian dan dimainkan di radio . Ramai cakap, saya bertuah kerana kebanyakan lagu saya sering menjadi hits dan sangat catchy," katanya

Promosi Single Baharu
Kekasih Stacy, Akim pula memberitahu beliau kini sedang mempromosikan single terbaharu berjudul Mewangi ciptaan Aiman atau Zul 2 By 2. Diusik apakah lagu itu seakan-akan simbolik kepada cintanya yang kian mewangi terhadap Stacy, jejaka kacak ini hanya tersenyum manja.

"Lagu ini bukan saya yang tulis dan kalau ditulis berkemungkinan ia ada kaita dengan diri sendiri. Macam singel terbaharu ini, kebetulan saja dengan apa yang saya lalui. Bagi saya projek istimewa band ini sebagai satu usaha meningkat dan mematangkan kerjata nyanyian.

Bermula sebagai penyanyi, seterusnya sebagai pelakon sejak empat tahun lalu, Akim cuba mencabar diri. Bahkan kerjaya lakonan dianggap terus membuatkan namanya sebagai penyanyi kian dilupakan.

"Kejayaan di ABPBH 2013 membuktikan yang peminat masih mahu saya menyanyi termasuk berduet dan mencipta lagu. Bersyukur kepada Allah, terima kasih kepada akhbar BH dan peminat atas peluang ini. Ikutkan, saya ramal kumpulan Forteen yang menang kategori Artis Duo Berkumpulan Popular, tetapi rezeki milik saya dan Stacy," katanya yang turut tercalonkan dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular yang dimenangi Shah Iskandar.