Tampil Semakin Cantik, Stacy Nafi Suntik Wajah
PENYANYI lincah, Stracie Angie Anam atau lebih senang disapa Stacy cukup terkenal dengan kekerapannya menukar imej dan gaya rambut.
Penghibur yang berusia 24 tahun itu juga dilihat berani mencuba pelbagai gaya baharu seiring dengan kemunculannya menerusi persembahan pentas mahupun di kaca televisyen.
Namun, sejak akhir-akhir ini, pelantun lagu Kisah Dongeng itu tampil lebih anggun dan cantik berbanding sebelumnya.
Justeru, ada cakap-cakap nakal mengatakan Stacy sudah berani mendapatkan rawatan suntikan bagi memiliki bentuk wajah yang lebih runcing dan jelita. Selain perubahan pada wajahnya, kulit Stacy juga kelihatan lebih cerah.
Berkesempatan bertemu dengannya pada majlis pelancaran rancangan Pop Krew yang diadakan di The Terrace, The Curve, Mutiara Damansara, Selangor baru-baru ini, juara Akademi Fantasia musim keenam itu menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
Katanya, dia tidak pernah terfikir untuk mendapatkan rawatan suntikan, apatah lagi mengubah wajahnya untuk tampil lebih cantik.
Kosmo!: Stacy, saya percaya ini bukan persoalan asing yang diajukan kepada anda sejak akhir-akhir ini. Boleh anda jelaskan tentang dakwaan yang mengatakan anda mengamalkan rawatan suntikan muka bagi mendapatkan raut wajah yang lebih menawan?
STACY: Tidak sama sekali. Saya tidak pernah terfikir untuk mendapatkan rawatan sedemikian.
Jadi apa yang boleh anda jelaskan mengenai perbezaan penampilan dan wajah anda berbanding dahulu?
Mungkin perubahan wajah saya dipengaruhi oleh penurunan berat badan yang agak banyak. Dulu muka saya kelihatan agak bulat akibat kenaikan berat badan yang berlebihan.
Berapakah berat yang berjaya anda turunkan?
Berat saya pernah mencecah sehingga 56 kilogram (kg). Setelah kembali aktif bersukan, berat saya turun sehingga 46kg. Selain itu, saya juga menjaga cara pemakanan dan mengelakkan pengambilan hidangan yang menggemukkan.