Selepas enam tahun membina empayar seni, pencapaian penyanyi genit kelahiran Sabah itu kini amat indah.
Jolokan penyanyi versatil layak diberikan buat Stracie Angie Anam
atau Stacy, 24, lantaran aura luar biasa dibawanya setiap kali berada di
pentas. Dia tersendiri dan unik kerana sehingga saat ini kekuasaannya
sebagai penyanyi juga penari hebat belum ada tandingannya.
Apapun, realiti untuk mempunyai album dalam pasaran seperti sekarang
bukanlah mudah, penyanyi Bosan itu tidak terkecuali perlu menanti waktu
sesuai tampil dengan album terbaiknya.
Padahal, jika dihitung semula lagu hit miliknya termasuk Aku Stacy,
Gagap, Kisah Dongeng, Pelangi Senja, Pakai Buang, Kasanova dan banyak
lagi sangat kuat untuk dirangkumkan dalam satu album malah tentu
mendapat sambutan.
Bagaimanapun, meniti sisi kerjayanya yang semakin berubah dan perlu
seiring dengan kematangannya, Stacy mengakui perlu terus relevan baik
pada penampilan diri hinggalah lagu-lagunya.
Sebab itu juga sekian lama dinantikan peminat, petang kelmarin
penyanyi itu tampil dengan album terbarunya berjudul #1 yang nyata
menunjukkan sisi lainnya. Masih dalam elemen ‘funky’ namun lebih matang
dan berada di kelas tersendiri.
Bercerita mengenai di sebalik album itu sendiri dan kelainan, dia
mengakui album itu gambaran kepada dirinya sekarang dan puas kerana
turut terbabit dalam pembikinannya.
“Sebelum tampil dengan album saya dan pihak pengurusan sudah
berbincang mengenai konsep itu sendiri apabila saya mahukan sesuatu yang
lebih segar seiring dengan usia sekarang.
“Jadi, semua elemen itu akan dapat dirasai sendiri menerusi album
ini di mana jika sebelum ini sisi remaja saya lebih ditonjolkan namun
dalam album ini bukan lagu saja, fesyen serta kematangan nyanyian saya
terserlah.
“Agak lama juga masa diambil untuk pelancaran album ini yang
pembikinannya bermula sejak Oktober tahun lalu, namun saya sangat
berpuas hati kerana ia dibuat sangat terperinci daripada lagu hinggalah
ke kulit album.
“Sepanjang proses, saya juga ada terbabit menyumbang idea dan itu
juga antara pencapaian terbaik buat diri saya,” katanya yang turut
menulis lagu berjudul Gilalah dalam album berkenaan.
Berbekalkan modal itu pastinya rencana karier seni bekas juara
Akademi Fantasia 6 (AF6) itu kembali rancak dan ditanya mengenai
perancangan masa depan, kata Stacy semestinya dia mahu memperluaskan
lagi kuasanya ke pasaran lebih jauh.
“Fokus sekarang tidak lain tidak bukan memastikan album ini diterima
baik dan pengurusan pun sudah mengatur pelbagai rangka promosi termasuk
memasarkannya ke Indonesia, Singapura dan Brunei.
“Tidak dinafikan pasti jadual akan kembali lebih sibuk selepas ini
namun itulah yang saya nantikan kerana menyanyi dan menghibur adalah
‘passion’ saya,” katanya.
Bukan sekadar melancarkan albumnya, Stacy tidak ketinggalan tampil
dengan showcase mini di The Zouk, Kuala Lumpur selepas sidang media yang
dihadiri hampir 300 peminat setianya.
Cukup terserlah sebagaimana yang digambarkannya menerusi kelainan
album serta pembawaan dirinya sekarang, bagaimanapun tenaganya di pentas
tidak pernah mengecewakan seperti sebelum ini.
Menyanyikan rangkaian lagu daripada album terbarunya termasuk #1,
Gilalah dan Paranormal, peminat tidak henti bersorak serta bergoyang
sama setiap kali penyanyi itu menakluki pentas bersama penarinya. (Harian Metro)