Imej lincah dan tarian penuh bertenaga itu sememangnya sudah sebati
dengan Stacy yang lahir daripada rancangan nyanyian realiti Akademi
Fantasia.
Jika dibandingkan dengan penyanyi tempatan yang lain, Stacy memang
mempunyai keunikan yang tersendiri daripada segi vokal dan persembahan.
Tetapi, di awal penglibatan Stacy, ada yang cuba mengaitkan penyanyi genit itu dengan figura penyanyi seberang, Agnes Monica.
Jika dibandingkan antara kedua-dua penyanyi ini, ternyata daripada
persembahannya, berasas juga perbandingan yang dilakukan. Stacy dilihat
seperti Agnes Monica.
Namun persamaan itu bukanlah sesuatu yang sepatutnya dikeji apatah
lagi genre yang dibawakan kedua-dua penyanyi juga sama. Jadi tidak
timbul isu Stacy tiru atau sebagainya.
Mengambil masa yang agak lama sebelum muncul dengan album keduanya,
sekali lagi imej baharu yang ditampilkan dikatakan meniru penyanyi
antarabangsa, Miley Cyrus.
Bagi Stacy sendiri, dia tidak pernah kisah dengan dakwaan persamaan
yang diberikan oleh orang luar terhadap perubahan imejnya itu.
“Apa yang saya gayakan memang tiada kena mengena dengan artis lain.
Memang tidak timbul isu saya meniru artis lain atau sebagainya.
“Malah, lagu-lagu yang saya nyanyikan juga berbeza, cuma mungkin imej
sahaja yang sama lantas orang kata saya meniru imej artis lain,"
jelasnya.
Tambah Stacy lagi, imej yang dibawakan juga adalah imej semasa yang sedang menjadi trend.
“Imej yang saya bawa sebenarnya sudah menjadi trend semasa. Jadi ia
adalah imej bebas yang boleh diguna pakai oleh sesiapa sahaja.
“Sesiapa sahaja boleh tampil dengan imej seperti itu dan ia adalah
kebetulan. Jika orang lain tampil dengan imej itu pun tiada masalah,"
katanya.
Berkongsi tentang imejnya kini, bagi Stacy, imej terbaharunya ini menunjukkan sisi pada dirinya yang lebih matang.
“Matang itu bukannya bermaksud matang daripada segi umur sahaja,
tetapi menunjukkan kematangan aspek muzik yang dibawakan dan juga gaya
fesyen.
“Lagipun, Stacy tukar supaya tidak mahu orang nampak bosan dengan imej yang sama sahaja," jelasnya.
Mula tulis lagu
Bukan senang untuk menulis lirik sesebuah lagu. Semuanya memerlukan
idea apatah lagi jika individu itu seorang artis yang mempunyai jadual
yang sangat padat.
Menariknya untuk album terbaharu Stacy, dia mempertaruhkan satu lagu yang dicipta sendiri liriknya iaitu lagu Gilalah.
Mengakui ia sesuatu yang sukar, jelas Stacy, lirik pertama itu
dianggap percubaan kepadanya yang masih lagi belajar untuk menulis lirik
lagu.
“Memang saya berusaha sebenarnya untuk menulis lirik walaupun sukar,
tapi saya tetap mahu cuba menghasilkan sebuah lagu dengan lirik ciptaan
sendiri," katanya.
Tambah Stacy lagi, menerusi lagu Gilalah, ia adalah sebuah lirik yang merupakan cerminan kepada luahan rasa dirinya sendiri.
“Lirik itu sebenarnya adalah luahan daripada apa yang saya rasa
sendiri dalam diri ini. Saya buat lagu tentang apa yang saya lalui dalam
kehidupan," ujarnya.
Ditanya tentang apa yang sukar, jelas Stacy, meluahkan rasa dalam
lirik itu tidak sukar, sebaliknya bagaimana hendak menyusun ayat untuk
menjadi sebuah lirik itu yang sukar baginya.
“Tetapi, dalam kesusahan itu, saya berjaya juga menyiapkan satu lirik
sebagai cubaan pertama dan bersyukur sangat kerana lagu itu mendapat
sambutan yang baik daripada peminat," katanya.
Jelas Stacy lagi, percubaan pertama yang mendapat sambutan itu membuatkan dia akan terus mencuba dalam bidang penulisan lirik.
“Saya tidak akan berhenti. Saya akan terus mencuba untuk menulis lirik mungkin untuk lagu-lagu yang akan datang," ujarnya.
Bukan untuk anugerah
Ada yang menggunakan pendekatan anugerah tertentu sebagai tahap untuk mengukur sejauh mana kejayaan dalam industri seni.
Tetapi, bagi Stacy, dia tidak melihat anugerah sebagai hala tuju
untuk meneruskan kelangsungannya sebagai seorang penyanyi dalam industri
seni tempatan.
“Menang anugerah atau tidak, itu bukan sasaran saya yang sebenarnya
apatah lagi menggunakan ia sebagai satu alat ukuran kejayaan saya.
“Saya terlibat dengan dunia nyanyian adalah kerana minat yang
mendalam terhadap seni suara. Saya masuk bukan sebab dipaksa, tetapi
kerana minat.
“Syukur sangat sehingga kini, kerja yang saya lakukan kerana minat
saya ini mendapat sambutan yang baik daripada peminat dan itu sudah
memadai," jelasnya.
Tambahnya lagi, dapat anugerah atau tidak, dia akan terus dengan
kerjaya nyanyian kerana itu adalah minatnya sejak daripada kecil lagi.
“Buat apa kita hendak paksa diri untuk melakukan sesuatu yang kita
tidak minat demi sasaran tertentu. Saya lebih senang dengan pendekatan
lakukan apa yang kita minat dahulu," ujarnya. (utusan)
Lagu, pencapaian jadi penentu
Penyanyi Lelaki dan Wanita Popular ialah antara kategori yang sering
menjadi perhatian peminat Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH). Bukan
bercakap kosong, sebaliknya dua kategori ini sering menampilkan
persaingan cukup sengit antara calon yang bertanding.
Tidak keterlaluan andai dikatakan bukan mudah untuk memasuki senarai
akhir pencalonan kategori ini. Hanya mereka yang benar-benar menjadi
sebutan peminat layak menghuni satu daripada lima tempat yang disediakan
bagi kedua-dua kategori berkenaan.
Bagi kategori Penyanyi Wanita Popular, ABPBH 2013 membariskan lima
finalis seperti Alyah, Najwa Latiff, Shila Amzah, Stacy dan Yuna.
Andai diukur dari segi pengalaman dan pencapaian, kelima-limanya memang
hebat. Penilaian bukan saja dilihat berdasarkan populariti, tetapi juga
kelebihan yang ada pada diri masing-masing seperti kemampuan
mempamerkan persembahan hebat dan keupayaan untuk menghasilkan lagu.
Apa pun, catatan di atas hanyalah sekadar ramalan. Keputusan sebenar
hanya akan diketahui pada malam kemuncak yang bakal berlangsung jam 9
malam esok, di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
(PICC). (ABPBH)