Hubungan Dengan Stacy Serius

Umum sering disuap dengan rentetan episod percintaannya dan Stacy, namun kedua-dua mereka lebih selesa memberikan jawapan yang selamat apabila persoalan mengenai kisah hati cuba dirungkai.

Barangkali kerana terlalu kerap disuap persoalan mengenai cinta sejak lima tahun lalu, dia mengakui, emosinya pernah terganggu apabila berulang alik terpaksa berdepan isu yang sama.


Bagaimanapun, kebelakangan ini, akim semakin matang menangani pernyataan media massa, malah perlahan lahan mula terbuka mengakui kisah percintaannya.

"Stacy adalah teman wanita saya sejak lima tahun lalu dan hubungan kami serius. Selama ini kami bukan cuba berahsia atau takut untuk berkongsi mengenainya dengan peminat.

"Kami melalui percintaan berlainan agama, justeru banyak hati yang perlu dijaga. Apabila hubungan kami terlalu digembarkan-gemburkan, malah meleret seolah olah kami membelakangkan keluarga, sedikit sebanyak ia memberi kesan kepada orang tua.

Jaga Hati Keluarga
"Untuk tidak melukakan hati keluarga, kami memilih tidak membicarakannya secara terbuka. Semua itu memerlukan masa dan secara peribadi, saya ingin membawa hubungan kami ke fasa lebih serius," katanya.

Memohon memberi sedikit masa, Akim berkata, persoalan mengenai perkahwinan hanya akan difikirkan apabila usianya mencecah 25 tahun.

Usia itu baginya, mencerminkan kematangan kerana perkahwinan memerlukan kesungguhan tinggi dan tidak hanya bersandar kepada cinta semata-mata.

"Sementara masih muda, lebih baik kami memberikan tumpuan untuk membina kerjaya, Stacy punya tanggungjawab besar terhadap keluarga dan saya bangga mengenali seorang wanita yang berdikari.

"Saya tidak berani meramal masa depan kerana jodoh, dan pertemuan itu urusan Allah. Seandainya takdir menemukan jodoh kami, saya tidak akan menolak.

"Cuma saya ingin ia berlaku atas restu keluarga" katanya mengakui tertarik dengan sifat penyayang yang dimiliki Stacy. (Berita Harian)

 Projek Baru Dengan Stacy
Mengulas tentang kemenangannya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2013 (ABPBH 2013), untuk kategori Artis Duo/ Berkumpulan Popular, Akim memberitahu dia cukup berpuas hati dengan sokongan peminat.

"Alhamdulillah, syukur. Akhirnya selepas menanti selama enam tahun, saya menerima anugerah untuk kategori ini. Saya rasa amat puas hati kerana peminat saya dan Stacy menyokong dan mengundi kami untuk kategori Artis Duo / Berkumpulan Popular ini," ujar Akim teruja.

Mengakui dirinya berasa gembira kerana gabungannya bersama Stacy diterima peminat, Akim mendedahkan yang mereka mempunyai rencana dalam menghasilkan projek duet baru.

"Kami ada rancang untuk menghasilkan single terbaru seterusnya selepas single 'Kembali'. Jika ada rezeki dan peluang, kemungkinan juga akan ada projek album duet kami berdua kelak. Siapa tahu kan? Semuanya masih dalam perancangan," ujar Akim lagi. (Gua)