"YA. Saya gembira mengakui bahawa Stacy ialah wanita yang bertakhta
dalam hati saya sejak lima tahun lalu dan saya serius dengan hubungan
cinta kami." Akim berkata demikian tanpa mahu berselindung lagi tatkala
ditanya hubungannya bersama rakan artis Stacy, yang selama ini sering
dijadikan bahan publisiti.
Barangkali sudah bosan cuba menutup perhubungan yang sudah lama
dihidu ramai itu, Akim membuktikan kematangannya yang sedia
bertanggungjawab di atas setiap kenyataan yang dikeluarkan.
Pengakuan Akim sekali gus menghapuskan teka-teki peminat yang keliru
dengan perhubungannya bersama Stacy atau nama sebenarnya Stacie Angie
Anam selama ini. Umum juga tahu, walaupun sama-sama lahir dari pentas
Akademi Fantasia, sama muda dan sama popular, Akim dan Stacy mengambil
cabaran besar apabila mereka serius mahu menyatu jiwa walaupun jauh
berbeza keturunan dan agama.
"Saya bukan mahu sangat berahsia atau takut untuk memberitahu umum
tetapi bercakap mengenai soal percintaan yang berlainan agama merupakan
isu sensitif.
"Saya dan Stacy enggan melihat kedua-dua ibu bapa kami terluka
apabila mengetahui perkara ini. Kami perlukan masa yang sesuai untuk
mereka memahami perkara yang sebenar supaya tidak salah anggap," kata
Akim ketika dihubungi Sensasi Bintang.
Stacy yang popular dengan lagu Bosan juga pernah mengakui mindanya
semakin terbuka tentang Islam namun, untuk bercerita tentang keseriusan
menukar agama dan berkahwin, dia juga sedar masih terlalu awal perkara
sensitif itu dibawa masuk mengisi publisiti.
Stacy kini masih menganut agama Kristian, namun itu bukan penghalang
untuk Akim membawa hubungan mereka berdua ke fasa yang lebih serius.
Kata Akim, dia tidak kisah tentang status agama seseorang itu kerana
Islam tidak pernah menghalang berkawan dengan insan berlainan agama.
"Saya tidak kisah kerana Islam sendiri tidak pernah melarang umatnya
untuk berkahwin seseorang daripada agama berlainan asalkan pasangan
masing-masing memeluk agama Islam terlebih dahulu.
"Namun, jodoh dan pertemuan itu urusan Allah. Dia yang akan
menentukan jodoh saya dengan Stacy. Apa yang mampu saya lakukan hanyalah
berdoa agar kami akan dipertemukan jodoh dan mendapat restu daripada
keluarga," jelas Akim yang begitu tertarik dengan sifat penyayang yang
dimiliki Stacy.
Mengulas mengenai sifat penyayang ibu angkat kepada Bella De Luna
Velentine itu, Akim memberitahu sifat itulah yang membuatkan dia semakin
jatuh cinta terhadap Stacy.
"Karakter penyayang yang dimiliki Stacy menyebabkan saya selesa
berkawan dengan dia. Dia juga memiliki keperibadian yang baik dan
sanggup bersabar sepanjang tempoh perhubungan kami. Itu yang menjadikan
dia begitu istimewa di hati saya," jelas Akim belum menetapkan sebarang
tempoh untuk menamatkan zaman bujang bersama Stacy.