Stacy Mahu Tembusi Pasaran Indonesia

Tampil imej matang sesuai dengan konsep lagu

Pernah dianggap cuba meniru imej penyanyi Barat sensasi, Miley Cyrus tetapi bagi Stacy, dia hanya ingin menonjolkan kematangan serasi konsep lagu yang dibawa.

Mengakui dirinya seorang yang berani mencuba dan peka aliran fesyen terkini, Stacy atau Stracie Angie Anam, 24, bagaimanapun menolak kenyataan imej terbaharunya itu sekadar untuk meraih sensasi.

Diikutkan hati, penyanyi yang popular dengan lagu Pelangi Senja dan Bosan ingin tampil lebih berani tetapi Stacy memahami batasan yang perlu dipatuhi.

"Saya hanya mencuba, mencari imej bersesuaian lagu dan usia. Mungkin segelintir terkejut dengan perubahan diri saya kerana dulu saya tampil lebih ringkas, sesuai diri yang ketika itu masih remaja.

Tonjol Kematangan
 "Bagaimanapun, sekarang saya sudah 24 tahun. Saya tidak boleh berterusan begitu kerana perlu tonjolkan kematangan, bukan hanya pada pemilihan lagu tetapi juga penampilan di tempat awam dan pentas.

"Orang kaitkan saya dengan Miley Cyrus kerana ketika ini namanya sedang menjadi sebutan, selain imejnya yang menjadi ikutan.

"SELEPAS ENAM TAHUN, SAYA TIDAK MAHU MENGHASILKAN ALBUM SEKADAR UNTUK MENYAMBUNG PERJUANGAN. SAYA INGIN LEBIH SERIUS KERANA ALBUM INI TURUT MENJADI PENENTU KEPADA PERJALANAN KERJAYA NYANYIAN"

"Sedangkan apa yang saya buat sekadar mengetengahkan imej yang bersesuaian konsep lagu. Masih ringkas dan tidak keterlaluan kerana sedar, saya terikat batasan sebagai gadis Timur," katanya.

Gadis kelahiran Penampang, Sabah itu mengakui, apa yang dilihat peminat ketika ini hanya bersifat sementara kerana imejnya akan berubah untuk album ketiganya nanti. Bakal dipasarkan selepas musim Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 berakhir, peminat akan melihat transformasi dirinya yang baharu dari segi lagu mahupun tarian.

Beri Kepuasan
"Bersama Audi Mok, sesuatu yang lebih segar dan mencerminkan siapa Stacy yang sebenar. Album terbaharunya ini memberikan kepuasan berganda apabila diberi ruang untuk terbabit dari awal.


"Selepas enam tahun, saya tidak mahu menghasilkan album sekadar untuk menyambung perjuangan. Saya ingin lebih serius kerana album ini turut menjadi penentu kepada perjalanan kerjaya nyanyian," Katanya.

Gandingan dengan kumpulan vokal popular Indonesia, Smash menerusi lagu ciptaan Audi Mok, Kimberly Chin dan Inu Numata iaitu Hello menjadi jambatan untuk memperkenalkan nama Stacy di negara seberang.

Lagu yang dimuatkan dalam album kedua Smash, Step Forward itu dipasarkan sejak Disember lalu malah mendapat tempat di stesen radio di negara itu.

Bagaimanapun, Stacy masih menanti ruang untuk memperkenalkan bakatnya di sana malah ketika ditanya mengenai perancangan ke Indonesia, dia hanya mampu menggeleng kepala.

"Itu antara janji ketika kerjasama ini dijalinkan, tetapi saya tidak tahu perkembangan lanjut mengenainya. Saya cuba menanti tawaran yang diajukan dan jika diberi peluang mengapa tidak saya mencuba?

"Saya tidak melihat populariti saya dipergunakan kerana Smash juga mempunyai nama yang kukuh di Indonesia.

"Saya selesa bersikap positif, malah senang beranggapan rezeki untuk ke sana belum tiba. Sekiranya usaha ini berhasil, saya mempunyai platform besar untuk bertapak di indonesia kerana Smash adalah nama popular di sana.

"Profil mereka begitu meyakinkan kerana album sulung Smash dijual lebih satu juta salinan selepas enam bulan dipasarkan. Saya cuma menanti label lebih memahami apa terbaik untuk saya." katanya.

Berterima Kasih Kepada Akim
Enam tahun menceburi industri hiburan, Stacy mengaku, perjalanan yang dilaluinya tidak mudah terutama kepada bintang realiti sepertinya kerana saban tahun ada saja bakat baharu hadir bersilih ganti.

Menyifatkan dirinya bertuah kerana setiap percubaan yang dihasilkan diterima positif peminat, Stacy menyifatkan, semua itu bertitik tolak daripada lagu yang dinyanyikannya.

"Saya tidak punya isu sensasi atau kontroversi untuk dijaja. Sekadar gosip cinta, itu bukan penentu untuk masyarakat menilai dan meletakkan saya pada kedudukan selesa.

"Saya bernasib baik kerana keunikan pada lagu yang dibawa membantu saya untuk bertahan. Variasi yang sering ditampilkan ketika persembahan pentas membuatkan peminat percaya kepada kelebihan bakat," katanya.

Tidak hanya lagu solo, gandingannya dengan kekasihnya, Akim menerusi lagu Kembali turut melonjakkan mereka untuk membolos selesa dalam kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular, ABPBH 2013.

Berterima kasih kepada Akim yang memilihnya sebagai teman duet, Stacy terharu apabila peminat mempercayai keupayaan mereka dan terus memberikan sokongan.

Hakmilik Terpelihara