SUATU ketika dulu, penampilan penyanyi popular, Stacy Angie pernah dikritik peminat dek berat badannya meningkat secara mendadak.

Malah kemunculannya dalam Anugerah Juara Lagu ke-26 yang lalu ketika mendendangkan lagu Pelangi Senja jelas memperlihatkan susuk badannya semakin berisi.

Namun sejak akhir-akhir ini, Stacy kelihatan kembali langsing.

“Sebelum ini berat saya 53 kilogram. Ketika itu saya jarang berpeluang untuk menari.

“Disebabkan itulah badan saya semakin berisi.

“Ramai yang menegur bentuk badan saya dan daripada situ saya berazam untuk kuruskan badan,” katanya.

Menurut Stacy, hasratnya untuk menguruskan badan sempena azam tahun baru itu mula diatur dengan menjaga cara pemakanan.

“Setiap kali bermain badminton atau futsal, saya tidak akan ambil makanan berat tetapi sekadar minum sup sahaja.

“Walaupun lapar, saya tahan saja sebab nak kuruskan badan,” katanya sambil ketawa.

Tolak cinta demi Bella

Sering kali digosipkan bercinta dengan penyanyi dan pelakon, Akim AF, Stacy menafikan hubungan mereka lebih daripada kawan.

Katanya, dia kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap anak angkatnya yang menginjak usia setahun tiga bulan.

Hubungan rapat antara dia dan Bella menyebabkannya jarang berjauhan dengan buah hatinya itu.

“Sebab itu saya tiada masa untuk bercinta. Bella merupakan perkara pertama yang perlu diberi perhatian.

“Saya menjaganya sejak dia berusia lima bulan lagi dan sering membawanya ke mana-mana sahaja kecuali ke luar negara,” ujar Stacy.

Dalam masa yang sama, Stacy baru sahaja pulang ke Malaysia selepas tamat merakamkan lagu dengan sebuah band Indonesia iaitu Smash.

Katanya, dia berduet bersama kumpulan tersebut untuk lagu Hello bagi dimuatkan dalam album terbaru mereka.