Enggan terlalu tayang si kecil demi kebaikan anak
Biarpun bukan darah daging sendiri, Stacy cukup terluka andai ada yang terus memanggil si kecil kesayangannya, Bella Deluna Valentina, sebagai anak angkat hingga dia pernah meninggikan suara saat berdepan insiden sebegitu.
Memahami itu hakikat sebenar, namun naluri keibuan yang dirasakan sebaik mengendong Bella lebih setahun lalu membuatkannya sanggup berbuat apa saja demi melindungi anaknya.
Memahami itu hakikat sebenar, namun naluri keibuan yang dirasakan sebaik mengendong Bella lebih setahun lalu membuatkannya sanggup berbuat apa saja demi melindungi anaknya.
Malah, andai dulu disebabkan rasa teruja, pemilik nama Stracie Angie Anam, 23, sentiasa memuat naik gambar puterinya, kini dia semakin jarang berbuat demikian atas sebab tertentu.
"Jangan salah faham, saya hanya mahu melindungi anak saya. Bella ialah nyawa saya"
“Selepas dianugerahkan Bella baru saya menyedari bagaimana hebatnya kasih dan pengorbanan seorang ibu. Kami memang tak boleh berenggang. Kalau saya ada undangan di luar Kuala Lumpur, Bella tetap saya bawa kerana tak sanggup berpisah dengannya.
“Ikatan itu menyebabkan saya enggan membayangkan bagaimana saya mahu berdepan dengannya menjelaskan situasi sebenar. Sekarang, walaupun dia belum tahu apa-apa, saya sendiri akan naik darah jika orang memanggilnya anak angkat.
“Jangan salah faham, saya hanya mahu melindungi anak saya. Bella ialah nyawa saya. Apabila dia semakin membesar, saya semakin prihatin dengan isu keselamatan, sebab itu kadang kala saya keberatan gambar kami berdua dirakam untuk tatapan umum. Harap semua faham situasi ini,” ulasnya lembut.
Cekap sebagai ibu
Sememangnya di atas pentas, pelantun lagu Kasanova itu cukup lincah beraksi, malah dalam kehidupan harian memikul tanggung jawab sebagai ibu pun Stacy cekap memastikan keperluan dan kebajikan Bella yang sudah menjangkau setahun lebih itu terjaga.
Jika gadis solo lain lebih gemar menghabiskan waktu senggang berlibur atau sekadar menggantikan tidur, Stacy sanggup mengorbankan keperluan sendiri dengan memperuntukkan masa bersama anaknya.
“Bella ialah tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya. Memang ibu mahu pun adik-beradik saya boleh diminta menjaganya sesekali, tetapi hati saya tetap mahu pulang ke rumah bertemu Bella andai dia tidak dapat dibawa bersama-sama,” kongsinya yang tampak teruja setiap kali bercerita perihal si buah hati.
Bella panggil Akim Daddy
Ditebak soal teman hidup selepas pernah dikaitkan dengan teman seperjuangan, Akim, akuinya tiada sebab untuk berselindung kerana hingga kini hatinya belum dimiliki sebaliknya lebih selesa berkawan.