Melalui kemas kini status akaun Twitter peribadi milik Stacy atau
nama sebenarnya Stracie Angie Anam, 24, penyanyi itu mengesahkan bahawa
dia telah dijangkiti virus Influenza A (H1N1) atau lebih dikenali
sebagai wabak selesema burung.
Berita mengenai penyakit berbahaya yang dihidapinya sungguh
memeranjatkan kerana pelantun lagu Bosan itu kelihatan sihat sewaktu
mengadakan persembahan pada malam penganjuran Anugerah MeleTOP Era
baru-baru ini.
“Betul, saya dijangkiti virus influenza A,” jelas Stacy dengan nada sayu sewaktu dihubungi! semalam.
Ujarnya, dia kini berada di kampungnya, Penampang, Sabah untuk
berehat dengan harapan penyakitnya itu sembuh dalam masa terdekat.
Sejak bila anda disahkan dijangkiti virus Influenza A (H1N1)?
'Saya mula demam, batuk dan selesema sejak beberapa hari
sebelum membuat persembahan pada malam anugerah MeleTOP Era. Ketika itu,
saya anggap hanya demam biasa sahaja. Walaupun saya telah makan ubat,
namun, suhu badan tetap tidak turun. Jadi, pada malam tersebut, saya
terpaksa menggagahkan diri untuk mengadakan persembahan.'
Jadi, bila anda pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan?
'Saya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan pada hari Ahad lalu.
Ketika itu, demam yang saya alami masih kuat, tekak pula semakin perit
dan sendi-sendi terasa sungguh ngilu. Badan saya berasa sangat sakit
sehingga saya tidak mampu untuk bergerak. Doktor di klinik tersebut
mengesahkan bahawa saya dijangkiti virus Influenza A.'
Apakah tindakan anda selanjutnya?
'Kemudian, saya pergi ke sebuah hospital di Subang, Selangor untuk
membuat pemeriksaan darah. Doktor di sana memberi saya suntikan bagi
mengurangkan demam dan beberapa jenis ubat untuk dihabiskan dalam tempoh
lima hari. Saya juga diminta untuk datang semula selepas tempoh itu
untuk membuat pemeriksaan selanjutnya.'
Bagaimana dengan keadaan anak anda, Bella De Luna Valentina, dua tahun, setakat ini?
'Saya agak risau kerana Bella sudah menunjukkan rasa kurang sihat.
Badannya sedikit panas dan sudah mula menunjukkan simptom selesema.
Jadi, saya akan membawanya ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan
doktor secepat mungkin.'
Anda membawa anak anda bersama pulang ke Sabah?
'Ya, saya ada membawa Bella bersama. Tujuan kami balik ke Sabah kerana
ingin menyambut hari lahir Bella pada 14 Februari ini. Saya sangat
berharap agar Bella sihat dan tidak dijangkiti virus yang sama.'
Adakah anda pernah mendapatkan sebarang suntikan vaksin untuk menghalang dijangkiti virus berkenaan beberapa tahun lalu?
'Ya, sewaktu virus H1N1 melanda negara tidak lama dahulu, saya ada
mendapatkan suntikan vaksin bagi mengelakkan dijangkiti penyakit itu.
Saya kurang pasti mengapa saya masih berisiko untuk dijangkiti virus
berkenaan.'
'Buat masa ini, apa langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan risiko jangkitan pada orang lain?
Sekarang saya mengikuti nasihat doktor dengan banyak berehat di
kampung. Suhu badan mulai turun dan saya juga dimestikan untuk memakai
topeng muka setiap masa agar virus ini tidak berjangkit dengan ahli
keluarga yang lain.'
Hakcipta terpelihara