Stacy Pasang Strategi

Stacy menyusun strategi, melontar energi dan mengalun vokal terbaik untuk melangkah ke pentas final Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) yang bakal berlangsung pada 26 Januari ini di Stadium Putra, Bukit Jalil bermula pukul 9 malam di TV3. Stacy bakal berentap menerusi lagu Bosan ciptaan Omar K.

Stacy tidak kecewa

Tampil dengan imej lebih segar dengan potongan rambut pendek yang berwarna hitam, Stracie Angie Anam atau Stacy mengakui gaya itu dilakukan bagi konsep album terbaharunya.

Menampilkan 10 lagu termasuk lagu bersama penyanyi band pop dari Indonesia iaitu SM*SH, jelas penyanyi berusia 24 tahun itu, konsep album baharunya itu jauh berbeza daripada lagu-lagu yang pernah ditampilkan sebelum ini seperti Jahat dan Pelangi Senja.

"Saya suka bereksperimen dengan fesyen tetapi saya akui tidak sesuai dengan fesyen feminin.

"Fesyen yang cuba saya tampilkan ini kena dengan konsep album terbaharu saya. Album ini juga merupakan kesinambungan daripada lagu Bosan," jelasnya yang teruja membuat persembahan akhir AJL28 dengan penampilan baharunya itu.

Menolak gimik dalam persembahan, kata Stacy, dia lebih menitikberatkan susunan muzik, vokal dan gerak tarinya di atas pentas AJL28 nanti.

Stacy juga mengakui tidak meletakkan kemenangan sebagai perkara utama. Sebaliknya, akan membuat persembahan yang terbaik dan secara tidak langsung ia memberi gambaran bagus untuk album terbaharunya yang bakal keluar tidak lama lagi.


Tidak pernah menang AJL biarpun hampir saban tahun melangkah kaki ke pentas akhir, bagaimanapun Stacy tidak kecewa.

Menjawab mengenai perkara itu, kata Stacy, dia masih baru dalam industri dan perjalanannya masih panjang dalam AJL

"Saya masih muda. Walaupun sudah enam tahun dalam industri ia masih dikira baharu. Saya tidak kecewa tidak pernah menang dalam AJL. Bagi saya, sudah masuk final pun dikira bagus," tuturnya yang tidak berasa cemburu terhadap Hafiz malah, gembira di atas kemenangan berturut-turut rakannya itu dalam pertandingan berprestij ini.